Melihat keadaan Abah sekarang, begitu luluh hati ini. Dari seorang yang sihat dan gagah ke sana sini, Abah kini menjadi tak berdaya lagi. Walaupun kesihatannya masih baik, tetapi pergerakannya sehari-hari menjadi sukar dan memerlukan bantuan orang lain. Berjalan tak mampu lagi, hanya mengesot sahaja yang terdaya. Fikiran pun semakin merosot. Mujurlah Mak masih sihat dan mampu menguruskan Abah. Itupun kudrat Mak tak seberapa disebabkan faktor usia.
Apalah yang mampu kami anak-anak boleh lakukan. Semuanya bekerja dan ada kerjaya masing-masing. Mak dan Abah memang tak ada masalah kewangan. Semua anak-anak mampu menanggung mereka. Tetapi untuk menjaga Abah hanya dapat dilakukan sekali sekala sahaja. Untuk tinggal bersama kami, tentulah mereka lebih selesa di rumah sendiri. Hanya doa yang dapat kami iringi semoga mereka sentiasa sihat dan dipermudahkan urusan sehari-hari.
Dulu Abah seorang yang ceria dan suka bergurau dengan kawan-kawan serta anak cucu. Tapi sekarang nak tengok dia senyum pun payah. Rasanya sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, tak pernah langsung aku lihat Abah senyum apatah lagi ketawa. Rindu nak tengok Abah macam dulu. Ramai kenalan-kenalan lama Abah pun berpendapat begitu.
Gambar Mak dan Abah yang diambil pada 2011
Masa Abah sihat, dialah yang selalu ke pasar dan membeli keperluan-keperluan rumah setiap bulan. Selalu juga ke bank, membayar bil dan urusan-urusan yang lain. Sekarang urusan-urusan tersebut diambil alih oleh adikku yang tinggal tak jauh dari rumah Abah. Rasanya baru semalam tengok Abah ke hulu ke hilir memandu kereta menguruskan bermacam-macam perkara ataupun naik basikal untuk ke surau dan masjid. Masa kami semua masih bersekolah dulu, masa cuti sekolah kami selalu di bawa berjalan-jalan dengan kereta second hand Abah. Alangkah indahnya waktu itu. Kalaulah waktu dapat diputar kembali......
Melihat keadaan Abah yang tak berdaya sekarang ini, selalu menyebabkan air mataku berlinang. Apakan daya kami untuk mengembalikan Abah macam dulu. Hanya kepada Allah kami berserah.