Sunday, 23 December 2012

Wednesday, 26 September 2012

Kalaulah Waktu Dapat Diputar Kembali

     Masa yang berlalu tak dapat diulang kembali. Hanya kenangan-kenangan sahaja yang boleh mengembalikan kita ke masa lalu. Begitulah kehidupan di dunia ini. Yang muda akan menjadi tua, yang sihat akan sakit, yang hidup akan mati, yang pergi takkan kembali. Kadang-kadang terasa betapa indahnya kenangan-kenangan lalu, walaupun yang pahit tetap tersimpan dalam memori. Di sini dirakamkan luahan hatiku. Sebenarnya luahan ini ingin dirakamkan pada Hari Bapa yang lalu tetapi disebabkan kekangan masa, ia tak dapat direalisasikan.

     Melihat keadaan Abah sekarang, begitu luluh hati ini. Dari seorang yang sihat dan gagah ke sana sini, Abah kini menjadi tak berdaya lagi. Walaupun kesihatannya masih baik, tetapi pergerakannya sehari-hari menjadi sukar dan memerlukan bantuan orang lain. Berjalan tak mampu lagi, hanya mengesot sahaja yang terdaya. Fikiran pun semakin merosot. Mujurlah Mak masih sihat dan mampu menguruskan Abah. Itupun kudrat Mak tak seberapa disebabkan faktor usia.

     Apalah yang mampu kami anak-anak boleh lakukan. Semuanya bekerja dan ada kerjaya masing-masing. Mak dan Abah memang tak ada masalah kewangan. Semua anak-anak mampu menanggung mereka. Tetapi untuk menjaga Abah hanya dapat dilakukan sekali sekala sahaja. Untuk tinggal bersama kami, tentulah mereka lebih selesa di rumah sendiri. Hanya doa yang dapat kami iringi semoga mereka sentiasa sihat dan dipermudahkan urusan sehari-hari.

     Dulu Abah seorang yang ceria dan suka bergurau dengan kawan-kawan serta anak cucu. Tapi sekarang nak tengok dia senyum pun payah. Rasanya sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, tak pernah langsung aku lihat Abah senyum apatah lagi ketawa. Rindu nak tengok Abah macam dulu. Ramai kenalan-kenalan lama Abah pun berpendapat begitu.

 
 Gambar Mak dan Abah yang diambil pada 2011

 Masa Abah sihat, dialah yang selalu ke pasar dan membeli keperluan-keperluan rumah setiap bulan. Selalu juga ke bank, membayar bil dan urusan-urusan yang lain. Sekarang  urusan-urusan tersebut diambil alih oleh adikku yang tinggal tak jauh dari rumah Abah. Rasanya baru semalam tengok Abah ke hulu ke hilir memandu kereta menguruskan bermacam-macam perkara ataupun naik basikal untuk ke surau dan masjid. Masa kami semua masih bersekolah dulu, masa cuti sekolah kami selalu di bawa berjalan-jalan dengan kereta second hand Abah. Alangkah indahnya waktu itu. Kalaulah waktu dapat diputar kembali......

     Melihat keadaan Abah yang tak berdaya sekarang ini, selalu menyebabkan air mataku berlinang. Apakan daya kami untuk mengembalikan Abah macam dulu. Hanya kepada Allah kami berserah.

Thursday, 12 July 2012

IMPIAN JADI NYATA





Kenangan terindah bersama keluarga. Impian yang besar telah tercapai pada 26 Mei 2012. Alhamdulillah.





Bersama anakanda-anakanda tersayang.





Tak puas berada di sini.






Semoga kita akan ke sini lagi.

Monday, 16 April 2012

Lima sekolah lima rasa

Jadi cikgu bukanlah kerjaya idaman. Tapi dah rezeki di sini. Setelah 20 tahun menceburi bidang ini, rasanya ia memang sesuai dengan jiwaku. Allah dah beri yang terbaik sebenarnya.

Sekolah pertamaku di Setiu, Terengganu. Pada tahun itu 1992, kawasan di sini baru hendak membangun. Walaupun sekolah ini terletak di tepi jalan, tetapi masih ketinggalan serba serbi. Kalau nak guna telefon awam, kena pergi ke pekan Setiu atau Jerteh. Siksa sungguh rasanya. Keluarga pula jauh di Perak. Memang rasa amat tertekan tinggal di sini. Tapi murid-muridnya mudah mesra dan menghormati guru. Merekalah penghibur hatiku. Dan mengajar kat sini selama 3 tahun.

Sekolah kedua, aku bertukar mengikut suami. Di negeri kelahiranku, tapi jauh juga dari rumah ibu bapaku. Di Kamunting. Sekolah ni baru dibuka masa aku datang ke sini. Aku banyak belajar bermacam-macam perkara berkaitan profesion perguruan. Lama juga di sini, lebih kurang 15 tahun. Ingatkan tak nak bertukar dah, tapi perancangan Allah itu lebih baik. Aku mohon bertukar ke sekolah yang akan dibuka di kawasan ini juga.

Sekolah ketiga ini banyak keistimewaannya. Sekolah baru, semuanya baru dan lengkap. Bilik guru yang amat selesa, rekabentuk sekolah yang cantik dan terdapat bilik-bilik khas yang lengkap. Memang selesalah. Ingatkan nak mengajar kat sini sampai pencen, sekali lagi Allah mempunyai perancangan yang terbaik untukku. Setelah setahun empat bulan mengajar di sini, aku telah mendapat kenaikan pangkat dan ditukarkan ke Selama, Perak. Mula-mula tu rasa macam nak tolak. Tapi setelah aku pergi ke sekolah tersebut, terbuka hati untuk menerima tawaran itu. Jarak sekolah ini sangatlah jauh. Tapi ku cekalkan hati untuk berulang alik setiap hari. Harap-harap tak lama di sini!

Sekolah keempat ini sekolah di kawasan kampung. Murid tak ramai dan rasa tenang. Semua rakan sejawat memberikan kerjasama yang baik. Seronok juga dan aku rasa beruntung kerana dapat belajar banyak perkara. Tapi tension, hari-hari kena drive sejam pergi dan sejam balik. Macam-macam menatang jumpa dalam perjalanan. Aku selalu memujuk diri supaya bersabar banyak-banyak. Setelah enam bulan di sini, berkat doa aku, suami dan ibu bapaku, aku telah dapat bertukar ke Taiping pula. Alhamdulillah. Syukur banyak-banyak.

Sekolah kelima ini lebih kecil dari yang di Selama. Setakat ini everything is ok. Aku harap aku akan sesuai di sini. Baru nak masuk tiga minggu di sini. So far so good. Walaupun terletak di Taiping, tapi setengah jam jugakla dari rumah. Ok la rasanya. Tak payah keluar rumah awal sangat.

Ha..... dah lima sekolah dah ya. Setiap sekolah tersebut mempunyai keistimewaan masing-masing di hatiku. Ramai kawan yang telah dikenali dan bermacam-macam ragam. Guru besar2 sekolah tersebut juga mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri. Ada yang tidak disukai, ada yang disayangi, ada yang amat dihormati, ada yang patut dicontohi dan ada yang selalu diingati. Harap-harap bila aku jadi guru besar nanti, aku dapat mencampurkan semua kualiti-kualiti yang baik dari semua guru besar tersebut!